Tuesday, July 26, 2011

Kambing Yang Tidak Pernah Puas...

Bismillah...

Pada suatu hari, kambing dan sahabatnya, lembu pergi meragut rumput di sebuah padang rumput. Rumput di situ sungguh subur dan segar. Rumput-rumput di situ amat mencukupi untuk keperluan kedua-dua haiwan itu. Namun kambing masih belum puas. Ia terfikir akan padang rumput yang terletak di sebalik bukit. Padang rumput itu agak jauh dari situ. Kambing ingin pergi ke sana kerana menganggap rumput di padang itu lebih baik.

Keesokan paginya, kambing memberitahu lembu akan keinginannya.


"Aku dengar rumput di padang di sebalik bukit sana lebih segar dan sedap. Aku ingin pergi ke sana. Adakah kamu ingin ikut sama?" Tanya kambing kepada lembu.

"Tidak!" Jawab lembu.

"Aku gembira menikmati rumput yang segar di sini. Udara di sini pun nyaman. Lagipun, tidak ada haiwan lain yang mengganggu aku di sini. Aku boleh makan sepuas-puasnya." Jawab lembu lagi.

"Betulkan kamu ingin pergi ke sana?" Tanya lembu.

 
"Tempat itu agak jauh. Perjalanan ke sana akan mengambil masa beberapa jam. Kamu perlu berhati-hati kerana kamu perlu mendaki bukit yang berbatu-batu," terang lembu.

"Kamu jangan bimbang," kata kambing.

"Tahulah aku menjaga diriku sendiri. Aku akan bertolak sekarang dan aku akan jumpa kamu pada petang nanti," kata kambing sambil memulakan perjalanan ke padang rumput di sebalik bukit itu.

Kambing terpaksa mendaki bukit yang berbatu-batu. Oleh kerana perjalanan agak sukar, kambing mengambil masa yang lama untuk sampai. Apabila sampai, kambing merasa terlalu penat. Ia berehat seketika. Kemudian, barulah ia mula meragut rumput. Ia hampa kerana rumput di situ kering dan rasanya tidak sedap.

"Cis, rumput di sini sungguh teruk!" Kata kambing. Ia menyesali tindakannya.


MORAL:
"Jangan bersikap tamak. Bersyukur dengan apa yang kita ada."

No comments:

Post a Comment